Wednesday 26 June 2013

KELEBIHAN ZIKRULLAH

Antara mafhum Hadits-Hadits Nabawi yang menyatakan tentang kelebihan Zikrullah:

1. Hadhrat Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu memberitahu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman, “Sesungguhnya Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh hambaKu terhadapKu, adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku, jika dia mengingati Aku di dalam hatinya maka Aku mengingatinya di dalam hatiKu dan jika dia mengingati Aku dalam jemaah maka Aku ingati dia dalam jemaah yang lebih baik iaitu dalam jemaah para malaikat yang maksum dan suci dari segala dosa. Apabila hambaku mendekatiKu sejengkal maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta maka Aku dekati dia sedepa, dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan maka Aku dekati dia dengan berlari.”
[Riwayat Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, At-Tarmizi, An-Nasai, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi]

2. Hadhrat Abu Darda Radhiyallahu ‘anhu telah meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bertanya kepada para Sahabatnya Radhiyallahu ‘anhum, “Mahukah daku khabarkan kepada kamu mengenai sebaik-baik amalanmu yang amat suci di sisi Allah yang meninggikan darjatmu ke peringkat yang tertinggi sekali, yang lebih mulia daripada menafkahkan emas dan perak di Jalan Allah, yang lebih utama daripada menghadapi musuh di tengah-tengah medan jihad, maka kamu tanggalkan lehernya atau mereka menanggalkan lehermu? Para Sahabat berkata, “Bahkan, apakah itu Ya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam?” Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Zikrullah.”
[ Riwayat Ahmad, At-Tarmizi, Ibnu Majah, Ibnu Abi Dunya, Al-Hakim dan Al-Baihaqi ]

3. Hadhrat Abu Sa’id Al-Khudri Radhiyallahu ‘anhu memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Berapa banyak orang yang di dunia ini mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala di kasur yang empuk yang kerananya Tuhan membawa mereka ke peringkat yang tertinggi di dalam Syurga.” Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga pernah bersabda, “Jika sekiranya kamu senantiasa berzikir nescaya para Malaikat akan berjabat tangan denganmu di jalan-jalan dan tempat tidur kamu.” Dalam sebuah hadits lagi Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda, “Telah berjayalah mereka yang unggul sendiri.” Para Sahabat bertanya, “Siapakah yang unggul sendiri, Ya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam?” Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Ialah mereka yang menyebut Nama Allah sebanyak-banyaknya.”
[ Riwayat Ibnu Hibban dan Muslim ]

4. Hadhrat Abu Musa Radhiyallahu ‘anhu memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Perbandingan orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati. Orang yang tidak berzikir itu adalah seperti orang yang mati.”
[ Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Al-Baihaqi ]

5. Hadhrat Abu Musa Radhiyallahu ‘anhu memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Jika sekiranya orang yang mempunyai wang yang banyak lalu membahagi-bahagikan secara bersedekah di Jalan Allah dan seorang lagi sedang sibuk dengan berzikir kepada Allah maka yang berzikir kepada Allah itu adalah lebih utama.”
[ Riwayat At-Tabarani ]

6. Hadhrat Mu’az bin Jabal Radhiyallahu ‘anhu memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Bahawa para penghuni syurga setelah tibanya di syurga tidak akan menyesal dan tidak akan berduka cita mengenai suatu apa pun kecuali masa yang telah berlalu dalam dunia tanpa zikrullah.”
[ Riwayat At-Tabarani, Ibnu Abi Dunya, Ahmad, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan Al-Baihaqi ]

7. Hadhrat Abu Hurairah dan Abu Sa’id Radhiyallahu ‘anhuma memberitakan bahawa mereka menyaksikan dan mendengar Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Tidak ada jemaah yang duduk sambil berzikirullah melainkan dikerumunilah mereka oleh Para Malaikat, diliputinya mereka dengan rahmat, diturunkan ke atas mereka ketenangan dan disebutkan mereka oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala di hadapan mereka yang berada di sisiNya.”
[ Riwayat Ibnu Abi Syaibah, Ahmad, Muslim, At-Tarmizi, Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi ]

8. Hadhrat Abu Zar Radhiyallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Aku nasihatkanmu, kamu hendaklah bertakwa kepada Allah kerana ianya sumber segala amalan. Utamakanlah bacaan Al-Quran dan zikrullah kerana dengan itu nama kamu akan disebut di langit dan menyebabkan nur di permukaan bumi. Perbicarakanlah yang baik-baik atau senyap nescaya syaitan akan terhindar darimu dan kamu akan ditolong tentang urusan-urusan agamamu. Janganlah sekali-kali banyak ketawa kerana dengan itu hatimu akan mati dan cahaya dari wajahmu akan terlenyap. Utamakanlah jihad kerana itulah kebanggaan umatku. Hendaklah mengasihani orang-orang miskin dan menggauli mereka dan perhatikanlah keadaan mereka yang lebih rendah daripada keadaanmu. Janganlah sekali-kali memperhatikan keadaan mereka yang lebih tinggi daripada keadaanmu kerana dengan ini kamu tidak dapat mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang telah Dia anugerahkan kepada kamu. Hendaklah mengukuhkan tali persaudaraan dengan kaum kerabatmu walaupun mereka memutuskan perhubungan mereka denganmu. Hendaklah berbicara yang benar walaupun dirasai pahit. Janganlah sekali-kali menghiraukan para pencela mengenai urusan-urusan agama Allah. Carilah keaiban dirimu sendiri, janganlah sekali-kali menghibuhkan keaiban orang lain. Janganlah sekali-kali memurkai seseorang kerana keburukannya yang terlibat di dalam dirimu sendiri. Wahai Abu Zar, tidak ada kebijaksanaan yang lebih bernilai daripada tindakan yang sewajarnya. Sebaik-baik taqwa ialah menjauhi segala larangan dan tidak ada kemuliaan yang setimpal dengan akhlak yang sempurna.”
[ Riwayat At-Tabarani dan Abdu Ibni Hamid ]

9. Hadhrat Muawiyah Radhiyallahu ‘anhu memberitakan bahawa sekali Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam keluar menemui satu halqah majlis para Sahabat (R. ‘anhum) lalu Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bertanya kepada mereka, “Mengapa anda sekelian duduk di sini?” Sahut mereka, “Kami menyebut Allah dan memujiNya atas nikmat agama Islam yang telah dilimpahkanNya kepada kami.” Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Kerana itukah anda sekelian duduk di sini? Aku tak akan meminta kamu bersumpah atau aku hendak menuduh kamu, namun Malaikat Jibrail telah mendatangiku dan mengatakan bahawa Allah Ta’ala membanggakan kamu atas para malaikatNya.”
[ Riwayat Ibnu Abi Syaibah, Ahmad, Muslim, At-Tarmizi dan An-Nasai ]

10. Hadhrat Anas Radhiyallahu ‘anhu memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Orang-orang yang berkumpul untuk berzikirullah hanya dengan tujuan mendapatkan keredhaanNya maka seorang malaikat berseru dari langit bahawa dosa-dosamu telah diampunkan dan kejahatankejahatanmu telah digantikan dengan kebaikan.” Menurut hadis yang lain, “Sebaliknya jika orang-orang berkumpul di sesuatu majlis kemudian berpisah dari majlis itu tanpa zikirullah maka majlis itu menyebabkan mereka akan menyesal pada hari Qiyamat.”

[ Riwayat Ahmad, Al-Bazar, Abu Ya’la, At-Tabarani, Al-Baihaqi, Al-Munziri, Ibnu Hibban,Al-Hakim dan As-Sayuti ]

No comments:

Post a Comment